SUKAN LAIN
Nur Azmi umum tanding jawatan timbalan presiden MOM
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad, bakal merebut jawatan timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam pemilihan badan induk sukan negara itu.
Bekas chef-de-mission (CDM) negara dalam Sukan SEA 2021 di Vietnam serta pemilik kelab bola sepak tempatan, Melaka FC, bukan sahaja aktif dalam pembangunan sukan tempatan, malah pernah menyandang beberapa jawatan utama dalam badan sukan lain seperti Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), sekali gus membuktikan kelayakannya untuk memegang jawatan nombor dua tertinggi dalam MOM itu.
Azmi ketika dihubungi memaklumkan bahawa dia mendapat sokongan daripada penyandang jawatan terdahulu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, yang tidak akan mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan kali ini.
Iklan
"Saya bersedia menggalas tanggungjawab itu sekiranya diberikan kepercayaan.
“Saya sudah berhubung dengan Hamidin untuk mendapatkan restu dan bekas presiden FAM itu juga menyokong hasrat saya untuk bertanding jawatan yang bakal ditinggalkannya itu.
“Saya berpegang kepada prinsip untuk berkhidmat demi pembangunan sukan negara. Jika diberi peluang, saya akan teruskan usaha memartabatkan sukan Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang kini merupakan naib presiden MOM.
Jawatan timbalan presiden badan induk itu antara kedudukan paling penting kerana peranannya sebagai penyambung tugas presiden selain terlibat secara langsung dalam perancangan jangka panjang terutama dalam persiapan menghadapi temasya besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA.
Must-Watch Video