NSL
NSL: Bintang import suntik keyakinan Perak Phoenix
Netball Super League (NSL) 2023 akan membuka tirai kurang daripada 24 jam dari sekarang dan pemain Perak Phoenix, Khairunnisa Nazri, optimis langkah kanan dalam perlawanan pembukaan menentang Negeri Sembilan Venom.
Menurutnya lagi, dengan kehadiran dua pemain import dari Uganda sememangnya boleh memberi impak dalam aksi Phoenix selain keserasian tidak lagi jadi masalah.
"Setakat ini keserasian kami tampak baik tetapi tengoklah macam mana pada hari perlawanan nanti.
"Saya harap akan datang lebih baik kerana mungkin ada pemain yang kami belum cukup kenali dan semuanya bergantung kepada jurulatih," katanya di Bukit Jalil hari ini.
Lain pula ceritanya buat Pahang Tulips yang bakal turun berjuang di Stadium Juara, Bukit Kiara, Sabtu ini menentang Selangor Angels tanpa sebarang pemain import.
Afrina Sahira yang ditugaskan di benteng berasakan ketiadaan pemain import memberi peluang buat semua pemain untuk mendapat lebih minit permainan, sekali gus membuktikan bahawa bakat tempatan mampu mengegarkan saingan bola jaring musim ini.
"Kami sudah merancang pelbagai taktikal dan akan berubah-ubah dalam setiap suku perlawanan.
"Ia bertujuan mengelirukan pihak lawan.
"Walaupun tanpa pemain import, kami tetap berpeluang untuk mempelajari gaya permainan yang baru daripada pihak lawan jadi ia boleh dimasukkan dalam strategi kami kelak," katanya.