NSL
NSL: Leishaarani intai peluang ke Sukan SEA Thailand
Pemain Paling Bernilai (MVP) Netball Super League (NSL) 2025, J. Leishaarani, kini mengintai peluang untuk menempah slot dalam skuad bola jaring kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA di Thailand yang bakal berlangsung Disember ini.
Hasrat tersebut diluahkan selepas menilai semula prestasinya sepanjang musim ini yang diakui berjaya mencapai tahap permainan diidamkan selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam penampilan keempatnya dalam liga kebangsaan.
Penyerang utama Kuala Lumpur Wildcats itu turut mencipta sejarah tersendiri mendominasi saingan di atas gelanggang, sekali gus dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik dan Top Goal Assist dengan rekod 117 bantuan jaringan sepanjang empat minggu kejohanan.
Iklan
“Sudah tentu, saya akan berasa gembira kerana ia adalah impian saya untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA.
"Jadi, jika saya terpilih, saya akan memberikan komitmen sepenuhnya dan fokus pada kejohanan itu, dan saya akan berasa sangat gembira jika diberi peluang untuk bermain dalam Sukan SEA.
"Buat masa ini, saya belum menerima sebarang maklumat, tetapi sudah pasti kami akan meneruskan latihan kami sendiri.
"Kita tidak boleh berhenti berlatih kerana kita perlu memastikan diri kita sentiasa cergas dan buat masa ini, kami perlu membuat latihan sendiri terlebih dahulu,” katanya.
Dengan pencapaian luar biasanya musim ini, Leishaarani dilihat sebagai antara calon terbaik untuk memperkukuhkan skuad kebangsaan, sekaligus membawa cabaran Malaysia di pentas dwitahunan hujung tahun ini.
Must-Watch Video