NSL: Johor Jewels hormat semua pasukan
Sinar Harian
Oktober 13, 2023 13:45 MYT
Oktober 13, 2023 13:45 MYT
Johor Jewels tetap menghormati setiap pasukan yang bersaing dalam kancah Netball Super League (NSL) 2023 biarpun tampil sebagai juara bertahan.
Bakal membuka tirai kejohanan dengan menentang 'musuh tradisi', Jewels tetap menganggap KL Wildcats sebagai pasukan yang kuat menjelang aksi sulung di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.
Pengurus pasukan itu, Juanita Primrose, berkata peluang semua pasukan untuk mengungguli edisi ketiga kejohanan itu adalah seimbang kerana mereka membuat persiapan yang rapi bagi membentuk skuad yang kuat.
Dia juga optimis kesemua pasukan bakal memberikan tentangan sengit kepada pasukan lawan, lebih-lebih lagi apabila menentang Jewels.
“Johor Jewels pandang tinggi semua pasukan. Saya pasti mereka juga sudah bersedia sepenuhnya dan peluang untuk muncul juara jadi milik semua,” katanya.
Selain Jewels dan Wildcats, enam lagi pasukan yang bersaing ialah Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips serta dua pendatang baru, Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites.
Juanita menuntut pemainnya untuk mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dalam edisi lalu.
Bagi edisi kali ini, Jewels turut diperkuat dengan kehadiran dua pemain import, iaitu dari Sri Lanka dan Afrika Selatan.
“Kami sudah bersedia dan tekad memberikan yang terbaik. Pemain berpengalaman, An Najwa Azizan, bersama rakan sepasukan lain menjadi sandaran Jewels untuk memburu kejuaraan kali ini,” katanya lagi.
Bagi edisi 2022, Johor Jewels muncul juara setelah menewaskan Wildcats 50-40 dalam aksi final.