NSL: Firra Syuhada kembali perkasa Selangor Angels

Muzaffar Musa
September 22, 2024 18:25 MYT
Firra Syuhada Hasrin bagaikan sirih pulang ke gagang apabila kembali memperkasakan Selangor Angels bagi musim baru Netball Super League (NSL) 2025.
Pemain yang sinonim dengan posisi pertahanan itu beraksi bersama Terengganu Marvels dalam saingan NSL edisi tahun lalu setelah dua musim menabur bakti bersama Angels pada 2021 dan 2022.
"Hari ini saya ke pemilihan pasukan Selangor kerana saya mahu kembali ke negeri asal saya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kerana saya sekarang ini sudah bekerja di Selangor dan latihan pusatnya juga sudah tentu di Selangor, jadi saya rasa ia lebih memudahkan saya untuk ke latihan."
Sesi pemilihan pemain Angels dikendalikan oleh Nur Hayatianim Abdul Rahman selaku jurulatih baru pasukan itu.
Hadir dengan reputasi selaku bekas pemain Selangor, Nur Hayatianim mengesahkan dua pemain import dari Australia sedang berada dalam radar pasukan itu..
"Kami mahu mereka membawa kejuaraan buat pasukan kami kerana berdasarkan latar belakang, mereka akan memberikan banyak bantuan buat kami.
"Kerana kami memang memerlukan mereka untuk bermain dalam semua perlawanan dan bukan sebagai pemain gantian.
"Kami mahu mereka membawa pasukan ini ke tahap lebih tinggi kerana mereka datang dari Australia," kata Nur Hayatianim.
#Bola Jaring #NSL #Selangor Angels