NSL 2025: Semangat waja kembali membara
Shaiful Shamsudin
Januari 21, 2025 13:51 MYT
Januari 21, 2025 13:51 MYT
Netball Super League (NSL) kembali dengan semangat waja kembali membara bersempena musim baru yang bakal membuka tirai dari 1 hingga 23 Februari depan.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, berkata penganjuran liga ini menambah perspektif dan meluaskan dimensi penyiaran sukan di negara ini.
"Ekosistem NSL merupakan tanggungjawab untuk dilaksanakan Astro.
"Kehadiran peminat dengan peningkatan penjualan tiket 71 peratus. Sepanjang tiga musim dari 2021, keseluruhan sembilan juta tontotan dicatat di Astro Arena sementara di Astro Go mencatat tujuh juta tontonan.
"NSL juga berikan signifikan terhadap lonjakan langganan di Sooka sebanyak 21 peratus pada musim lalu.
"Berdasarkan perspektif dulu, hanya sukan antarabangsa yang boleh memacu perniagaan. Jadi nilai sukan tempatan amat penting dan ini adalah contoh yang terbaik.
"Kerjasama saluran antarabangsa, W-Sport, disiarkan di 36 negara termasuk di benua Afrika, Timur Tengah dan Eropah. Ia menjadi penanda aras untuk memberikan kualiti penyiaran yang tinggi.
"Dengan kehadiran pemain import dari pelbagai negara seperti dari Fiji, Australia dan Afrika Selatan mampu menaikkan kompetitif pertandingan.
"Astro juga berikan fokus pembangunan bakat muda melalui NSL dan tahun ini melibatkan empat lokasi," katanya.
Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib, menjangkakan edisi 2025 pasti lebih meriah dan mampu melonjakkan kualiti pemain tempatan menerusi gabungan pemain import.
"Bola jaring sukan asas untuk golongan wanita.
"Semangat kesukanan pasukan menerusi penglibatan pemain import akan memberi saing yang lebih sengit dalam edisi kali ini.
"Kempen 2023 terdiri daripada seramai 11 pemain import sementara kali ini, (kehadiran) 15 pemain dari tujuh negara yang hebat-hebat," katanya dalam pelancaran rasmi NSL 2025 sebentar tadi.
Lagu tema Rule The Cort menjadi santapan halwa telinga musim baru NSL selain penggunaan bola rasmi keluaran Figo.
Peminat turut berpeluang memenangi 600 tiket percuma yang ditawarkan menerusi aplikasi MyAstro.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menganggap penganjuran NSL ini akan terus merancakkan kancah bola jaring di samping beberapa pembaharuan dan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar atlet mampu mengimbangi di antara tuntutan kerjaya dan keluarga.
"Antara fokus saya pada tahun ini ialah memperkasakan penyertaan wanita dalam sukan.
"(KBS) telah mewujudkan klinik wanita di Institut Sukan Negara (ISN), KL Sports City. Atlet wanita tidak perlu mencari perkhidmatan di hospital kerajaan dan menunggu lama untuk sesi bertemu doktor.
"KBS juga laksanakan taska untuk atlet dan jurulatih wanita di KL Sports City yang akan dirasmikan bulan ini.
"Ini untuk pastikan atlet wanita yang selepas berkahwin (dan akibat) tiada infrastruktur penjagaan anak, mereka bersara. Ini satu trend dalam bola jaring.
"Pada 2024, kami telah berikan geran padanan sukan berjumlah RM220,000 dan permohonan tahun ini sudah dibuka. Saya meminta supaya PBJM memanfaatkan peluang ini untuk perluaskan bola jaring di seluruh Malaysia," katanya.
Sebanyak lapan pasukan akan berentap merebut kejuaraan musim 2025 yang diketuai Johor Jewels selaku penyandang juara diikuti KL Wildcats dan Perak Phoenix yang pastinya bakal digugat Pahang Tulips, Negeri Sembilan Venom, Selangor Angels, Terengganu Marvels dan Putrajaya Dynamites.