NSL 2025: Izyan Syazana komited sumbang pengalaman perkuat Terengganu Marvels
Adli Aidy
Januari 12, 2025 19:49 MYT
Januari 12, 2025 19:49 MYT
Bekas pemain negara, Izyan Syazana Wazir, mengakui sudah kembali cergas selepas melahirkan cahaya mata pada tahun 2023 sekali gus terus menanam hasrat untuk memberi kemanisan sempena penampilan semula di pentas Netball Super League 2025.
Ibu kepada tiga anak ini adalah antara tonggak berpengalaman yang bakal memperkuatkan skuad Terengganu Marvels dengan sasaran untuk membantu pasukan dari pantai timur itu muncul sebagai tiga pasukan terbaik musim ini,
"Pada awalnya agak susah untuk adaptasi dengan masa menguruskan keluarga, latihan dan juga kerja. Lama kelamaan sudah menjadi kebiasaan dan badan saya sudah adaptasi dengan aktiviti tersebut" - kata Izyan Syazana
Izyan yang pernah mewakili negara untuk tiga temasya Sukan SEA dari 2015 sehingga 2019 telah berehat selama dua tahun selepas kali terakhir mewakili Kedah Sunshine pada musim 2022.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Hanisah Roslam, menjadikan NSL 2025 sebagai penampilannya yang pertama dan terakhirnya sebelum bersara.
Hanisah yang berasal dari Terengganu itu lebih banyak beraksi di dalam kejohanan peringkat negeri, namun tidak pernah mewakili mana-mana pasukan di pentas NSL.
"Saya mengenepikan keletihan perjalanan ke Terengganu setiap minggu demi membantu pasukan Terengganu dan minat terharap bola jaring." tambah Hanisah Roslam.