NSL 2021: Edisi sulung pikat penyertaan barisan atlet kebangsaan

Ammar Hakim
Mac 19, 2021 21:37 MYT
Astro bersama Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) buat julung kalinya memperkenalkan Netball Super League 2021 (NSL 2021) yang membuka aksi pertamanya di Stadium Juara, Kuala Lumpur bermula 19 Mac hingga 11 April 2021.
Tampil dengan format perlawanan kumpulan, saingan NSL 2021 selama empat minggu bakal menyaksikan lapan pasukan berentap merebut kejuaraan edisi pertama, iaitu Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Melaka Mystic, Negeri Sembilan Venom, Kedah Sunshine dan Pahang Tulip.
Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican berkata inisiatif Astro dan PBJM telah memberi nafas baru dalam sukan bola jaring dan juga pembangunan sukan wanita di Malaysia.
"Dengan adanya liga kompetitif dan berkualiti seperti ini, saya percaya pembabitan golongan wanita dalam arena sukan akan bertambah meriah dan kehadiran mereka mampu menyumbang kepada kemasyuran nama Malaysia di mata dunia."
"Saya berharap NSL 2021 menjadi titik permulaan untuk sukan ini dalam memberi pendedahan dan pengalaman kepada semua pemain selain membantu mengesan bakat muda untuk diketengahkan," katanya.
Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Alwiyah Talib menyifatkan NSL adalah platform terbaik untuk golongan wanita menonjolkan bakat mereka selain memberi kesamarataan peluang kepada mereka dalam penyertaan sukan.
"Sudah tiba masanya kita mempunyai liga sendiri jika ingin melihat sukan ini berkembang dan pergi lebih jauh. Nur Syafazliana Mohd Ali, kapten negara termasuk rakan pasukan kebangsaan lain seperti An Najwa Azizan, Karishma S Loganathan, Pow Mei Fong akan beraksi diantara 8 pasukan NSL nanti. Dengan adanya NSL pasti meniup kembali semangat dan prestasi skuad kebangsaan untuk terus memperbaiki ranking negara."
“Saya percaya kerjasama serta liputan daripada Astro dapat membuka mata ramai pihak dan NSL mampu memberi inspirasi kepada golongan wanita dan generasi muda yang ada untuk menjadi seorang pemain professional."
Katanya lagi, lapan pasukan yang bertanding adalah pasukan yang aktif yang di Malaysia setakat ini dan beliau percaya penambahbaikan akan dilakukan dari masa ke semasa untuk mempromosikan NSL ke peringkat global satu hari nanti.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, biarpun negara berhadapan dengan krisis pandemic Covid-19, namun Astro sentiasa berusaha memberikan kandungan terbaik untuk terus berhubung dengan peminat sukan negara.
“Sekiranya pihak kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke stadium, pihak kami akan memberi sepenuh komitmen mematuhi SOP yang ditetapkan. Kami juga berbesar hati untuk menerima kehadiran penyokong ke venue dengan mengenakan harga tiket yang minimum."
“Saya percaya liga seumpama ini sentiasa dinantikan oleh peminat apabila skuad bola jaring mula mencuri tumpuan selepas menang emas di temasya Sukan Sea 2017 dan seterusnya mengekalkan kuasa selaku kuasa Asia Tenggara di Sukan Sea 2019.
“Rating tertinggi pernah dicatat adalah ketika di Sukan Sea 2017 ketika perlawanan akhir Malaysia menetang Singapura iaitu 850 ribu penonton. Populariti dan prestasi cemerlang skuad kebangsaan di peringkat benua menarik ramai penonton untuk menyaksikan sukan ini lebih-lebih lagi saingan NSL yang membabitkan pemain kebangsaan," katanya.
Lee juga berharap sokongan daripada semua pihak baik dari sektor awam mahupun sektor koporat dalam membantu memainkan peranan penting untuk membawa golongan wanita lebih kompetitif dan NSL mampu menjadi kesinabungan legasi sukan ini dapat diperkasakan.
Saksikan NSL 2021 setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 5.00ptg pada 19 Mac ini hingga 10 April 2021 ini di Astro Arena 802HD dan di platform digital.
Ikuti NSL di Astro Arena
;