NSL: 15 pemain import jadi taruhan

Fariha Razak
Januari 21, 2025 16:36 MYT
Kurang sembilan hari lagi sebelum Netball Super League (NSL) 2025 membuka tirai musim baru yang akan bermula dari 1 hingga 23 Februari ini di Stadium Juara Bukit Kiara.
Selepas lebih setahun peminat bola jaring tanah air menunggu, musim baru NSL kali ini sudah pun kembali dan pastinya bakal menyajikan kualiti yang lebih baik dengan kehadiran 15 pemain import dalam lapan pasukan bertanding.
Pasukan seperti Pahang Tulips, yang sebelum ini tidak mengambil sebarang pemain import, juga sudah mengubah pendekatan dengan membawa masuk dua orang pemain import yang mewakili negara Sri Lanka dalam perlawanan antarabangsa, iaitu Thishala Tharani di bahagian jaringan dan Liyaara Malmi di bahagian pertahanan.
Putrajaya Dynamites, yang berada di kedudukan keempat edisi lalu, juga membawa masuk dua pemain baru dari benua Afrika, iaitu seorang dari Afrika Selatan, Muhluri Hlatshwayo, dan seorang pertahanan dari Botswana, Fattimah Dino, untuk memperkuatkan lagi pasukan mereka.
Selain itu penambahan import dari Australia, Uganda dan Fiji dalam musim baru ini juga dilihat akan memberikan saingan yang lebih sengit dalam perebutan gelaran Juara NSL 2025.
#NSL #Netball Super League #Liga Bola Keranjang
;