Skip to main content

Sukan Lain

NSAM mungkin rombak skuad menembak kebangsaan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

menembak.jpg
Kegagalan layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan berkemungkinan menyebabkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) membuat keputusan drastik untuk menyenaraikan penembak muda dalam skuad kebangsaan.

Menurut pengurus skuad menembak negara, Datuk Musa Omar, NSAM mungkin melakukan rombakan besar bagi memastikan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang.

Ia selepas kejayaan gandingan muda dari Perak, Aiman Syafiq Zainal Ariffin dan Nor Farhana Fadzil, mengatasi rekod Ezuan Nasir Khan-Nur Suryani Mohd Taibi dalam Kejohanan Menembak Remaja Selangor baru-baru ini.

"Jika diberi peluang, saya mahu membawa mereka (penembak muda) menyertai Piala Dunia.

"Bukan untuk mereka memenangi apa-apa tetapi untuk mereka melihat bagaimana penembak terbaik dunia bersaing sesama sendiri.

"Ia supaya mereka dapat rasakan tekanan untuk bersaing dalam kejohanan peringkat tertinggi," katanya.

Dalam pada itu, Musa mengesahkan bahawa NSAM telah mencapai kata putus berkenaan perkara itu tetapi ia terlebih dahulu perlu dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN), Jumaat ini.

"Saya mahu menumpukan kepada (acara) air pistol dan air rifle.

"Esok kami ada mesyuarat JKK (jawatankuasa kerja) dan saya sudah berbincang dengan jawatankuasa kami (NSAM) dan akan melihat sama ada mereka (MSN) akan bersetuju atau tidak.

"Saya fikir kami memerlukan rombakan drastik dan perlu mengambil satu langkah ke belakang untuk melakukan dua langkah ke depan," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video