SUKAN LAIN
Noraizat sedia cabar kedudukan perejam senior
Pemain muda sepak takraw negara, Noraizat Nordin, sedia mencabar kedudukan perejam senior dalam kem kebangsaan bagi memastikan impiannya untuk beraksi dalam Sukan SEA Filipina 2019 terlaksana.
Dua tahun lalu di Kuala Lumpur, Noraizat sekadar mewakili Malaysia dalam acara chinlone dengan meraih gangsa.
Namun, potensinya sebagai perejam terserlah apabila ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad, menyenaraikannya untuk menjadi sebahagian daripada skuad Sukan Asia 2018 di Palembang.
Meskipun namanya tercicir daripada menjalani latihan pusat di Korea Selatan bermula Jumaat ini, Noraizat masih berpeluang untuk memikat barisan kejurulatihan negara dengan mengetuai cabaran negara dalam Kejohanan Sepak Takraw Asia Kunming, bermula Isnin depan.
"Kami memberikan tumpuan untuk beraksi dalam Sukan SEA. Ramai barisan perejam dan saya akan berusaha untuk mendapatkan tempat dalam regu utama," katanya.
Dalam masa yang sama, Abdul Talib diarahkan untuk menyertai skuad kebangsaan ke Kejohanan Asia di China pada saat-saat akhir untuk merisik kekuatan beberapa pasukan Asia Tenggara yang bakal bertanding dalam Sukan SEA nanti.
Ia mencetus kebimbangan buatnya untuk mendapatkan permohonan visa dalam tempoh yang singkat setelah sebelum ini diputuskan jurulatih, Ahmad Sufian Napiah, yang akan mengiringi pemain-pemain ke kejohanan itu.
"Banyak perkara yang perlu dikaji dalam kejohanan di Kunming nanti. Banyak pasukan yang hadir dalam kejohanan itu, jadi saya perlu menilai kemampuan lawan dengan sebaik mungkin. Saya berharap segalanya berjalan lancar," katanya.