HOKI
Noraini: Tekanan cuma perkara kecil
Pemain hoki wanita negara, Noraini Abdul Rashid, tidak mahu memikirkan soal tekanan menjelang pusingan ketiga Liga Hoki Wanita Dunia 2017 di Brussels, Belgium bermula 21 Jun ini.
Bagi Noraini, yang terkenal sebagai pakar pukulan sudut penalti skuad negara, rasa gemuruh dan tertekan memang tidak dapat dielakkan daripada setiap pemain, terutama apabila memikirkan tanggungjawab untuk melayakkan pasukan negara ke pentas Piala Dunia.
Tambahnya, tekanan hanyalah gangguan kecil dan tidak perlu dihiraukan oleh setiap pemain, sebaliknya berusaha untuk meningkatkan mutu permainan dari semasa ke semasa.
“Tekanan memang tetap ada walaupun kami bukan pasukan pilihan. Yang penting kami fokus dalam latihan dan pertajamkan segala aspek, insya-Allah kami boleh,” katanya.
Selain itu, Noraini juga mengambil kesempatan daripada aksi pemanas badan menentang skuad pembangunan negara untuk mempertajamkan teknik “drag flick” yang dipelajarinya sejak tiga bulan lalu.
“Setakat ini, ia ternyata membantu, terutama dalam melepasi larian awal pihak lawan, dan seterusnya boleh memberikan kelebihan buat kami untuk menjaringkan gol,” ujar Noraini.