SUKAN LAIN

Nazifuddin sahkan dua atlet KL2017 positif doping

Penulis Jemputan 07/05/2018 | 11:44 MYT
Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib, mengesahkan sampel 'A' air kencing kuda milik seorang atlet ekuestrian dan seorang atlet angkat berat luar negara positif bahan terlarang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Situasi ini meletakkan Malaysia berpeluang menambah satu emas dan satu gangsa selepas muncul juara keseluruhan.
Atlet ekuestrian dan angkat berat luar negara itu sudah dimaklumkan mengenai perkara ini selepas sampel air kencing mereka diuji menerusi Sistem Pengurusan Anti-Doping (ADAMS).
Sebelum ini, tiga kes doping Sukan SEA dikesan dengan satu daripadanya membabitkan penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee.
"Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu ini sebelum kami ke Manila.
"Kami akan menyediakan laporan-laporan yang diperlukan untuk dihantar kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada minggu ini," katanya.
Nazifuddin menjalankan tugas hari pertama selaku setiausaha agung baru MOM selepas menewaskan Datuk Low Beng Choo dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, Sabtu lalu.
"Banyak kerja (untuk diuruskan). Beberapa hari terawal ini, kami sibuk untuk persiapan menghadiri mesyuarat Sukan SEA Filipina dan pemilihan atlet dalam Sukan Asia Indonesia.
"Kami juga akan membincangkan prosedur-prosedur (dalam MOM) dan isu dalaman yang perlu dikemas kini," katanya.
;