BOLING
Natasha Roslan komited terus julang nama Malaysia di mata dunia
Pemain sensasi tenpin boling negara, Natasha Mohamed Roslan, menyifatkan gelaran juara dunia yang diraih di Hong Kong awal bulan ini sebagai permulaan untuk impian yang lebih besar pada masa akan datang.
Atlet berusia 29 tahun itu juga beranggapan kejayaan tersebut sebagai batu loncatan untuk terus bekerja lebih keras bagi mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Malah, pemberian insentif sebanyak RM25,000 menjadi tonik tambahan buat atlet kelahiran Petaling Jaya itu untuk menabur bakti dalam sukan yang diminati sejak kecil itu
Iklan
"Ia menjadi motivasi buat saya untuk terus menjulang nama negara. Malah membuatkan saya lagi bersemangat untuk menang lebih banyak,” katanya kepada Sukan Sinar.
Natasha pada Khamis muncul penerima terbanyak insentif khas sebanyak RM25,000 daripada jumlah keseluruhan RM90,000 selepas mengungguli Kejohanan Piala Dunia di Kowloon.
Fokus beliau selepas ini ialah Kejohanan Boling Terbuka Malaysia di Petaling Jaya pada April.
“Sebelum ini saya meraih tempat ketiga dan kali ini memasang impian untuk muncul juara,” katanya.
Selain meraih kejuaraan dalam kategori individu Natasha turut bergelar naib juara acara berpasukan wanita.
Beliau bersama tiga lagi pemain Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim meraih insentif RM20,000.
Skuad lelaki yang dibarisi Muhamad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Timmy Tan juga tidak menghampakan apabila meraih gelaran dalam acara berpasukan lelaki. - Sinar Harian
Must-Watch Video