Natasha Roslan jalani persiapan rapi demi misi di Hong Kong
Shaiful Shamsudin
Disember 25, 2024 20:09 MYT
Disember 25, 2024 20:09 MYT
Jaguh boling tenpin negara, Natasha Roslan, optimis dengan sasaran pingat emas dalam Piala Dunia 2025 di Hong Kong dari 5 hingga 14 Januari depan.
Bersandarkan reputasi gemilangnya yang menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia memenangi pingat emas acara individu Kejohanan Dunia Salmiya, Kuwait, Oktober 2023 yang menyaksikan dirinya ditabal selaku olahragawati.
Musim 2024, satu emas di pentas Asia bersama Sin Li Jane menjadi pembakar semangatnya yang memasang misi lebih besar bagi mengangkat kembali namanya di pentas antarabangsa.
"2023 adalah tahun terbaik saya dan sedar bukan mudah untuk kekalkannya.
"Untuk kekalkan prestasi, apa yang dilakukan dalam latihan, saya akan dilakukan dalam kejohanan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dalam masa sama, dia mengakui perlu bijak menggunakan pelantar media sosial bagi membezakan di antara kehidupan peribadi dan atlet.
"Saya harap mereka akan berputus asa, saya pun pernah melalui fasa berputusasa dan sedih. Tetapi saya ambilnya sebagai pengajaran untuk teruskan hidup. Apa-apa pun asalkan berikan yang terbaik. Kalau kalah atau menang, ia adat permainan dan ambilnya sebagai pengajaran.
"Minggu depan, saya harap kami dapat berita baik pada tahun baru. Insya-Allah kami mahu bawa balik medal, kalau boleh bawa balik emas," katanya.