OLAHRAGA

Nani Sahirah, Fiross Faizal pasang impian lebur rekod masing-masing

Hanis Natasya Lizam 05/02/2025 | 11:09 MYT
Pemegang rekod kebangsaan lontar peluru, Nani Sahirah Maryata, kini giat menjelani persiapan menghadapi Kejohanan Sukan Universiti Dunia yang akan berlangsung di Jerman, Julai ini.
Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut meletakkan sasaran sama dalam Sukan SEA Thailand hujung tahun ini demi merealisasikan hasrat catatan lebih daripada 15.07 meter.
Menurut Nani, sepanjang tempoh dari Januari hingga April, tiada kejohanan besar yang dijadualkan menjadikan ia sebagai waktu untuk bertenang dan memberi tumpuan kepada latihan, terutamanya persediaan fizikal dan persiapan selepas Raya.
“Pada tahun ini, saya akan menumpukan usaha untuk memecahkan rekod peribadi saya yang bermula di Kejohanan Sukan Universiti Dunia.
“Insya-Allah, saya juga berharap dapat memecahkan rekod pada kejohanan tersebut.
“Sasaran utama saya tahun ini adalah untuk meraih pingat emas di Sukan SEA,” tambahnya lagi.
Sementara itu, atlet lari berpagar negara, Muhammad Fiross Mohd Faizal, berharap tuah akan berpihak kepadanya dalam musim 2025.
Setelah melalui fasa naik turun pada tahun 2024, sasaran utama Fiross tahun ini hanya satu, iaitu untuk meningkatkan prestasinya dan merebut tempat ke Sukan SEA Thailand.
“Sasaran saya untuk kejohanan seterusnya yang bakal berlangsung pada bulan April ini adalah untuk mencatatkan rekod peribadi baharu dalam acara 110 meter lari berpagar.
“Seperti yang dilakukan sebelum ini, saya mencatatkan masa 14.45s di Terengganu, namun gagal memecahkannya di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
“Oleh itu, saya mensasarkan masa 14.01s untuk permulaan bulan April nanti," katanya.
#Olahraga #Nani Sahirah Maryata #Muhammad Fiross Mohd Faizal
;