Skip to main content

Permotoran

Nama Lindblad mula disebut gantikan Tsunoda untuk pasukan Red Bull

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lindblad-lead.jpg
Selepas melalui kedudukan yang tidak berapa memberangsangkan sepanjang siri perlumbaan musim ini, pemandu pasukan Red Bull Racing, Yuki Tsunoda kini mula menjadi tajuk perbincangan hangat berkait masa depanya bersama pasukan itu.

Terbaharu yang hangat diperkatakan di media dan peminat setia siri perlumbaan paling elit di dunia itu mengaitkan bahawa status pemandu Jepun itu berkemungkinan akan disingkirkan daripada pasukan tersebut.

Apatah lagi selepas melalui sembilan pusingan perlumbaan, pemandu itu gagal menyerlahkan kemajuan dan agak jauh tersasar daripada apa yang asalnya diharapkan oleh pasukan Red Bull Racing.

Kedudukan Tsunoda dalam carta keseluruhan kejuaraan bagi pemandu ketika ini adalah di tangga ke-15 dengan hanya mampu mengumpul 10 mata daripada perlumbaan yang dilalui.

Ia sudah pastinya tidak menggembirakan pengurusan tertinggi pasukan itu yang ketika ini terpaksa mengharapkan pemandu utama mereka Max Verstappen untuk menyumbang mata dan kemenangan dalam setiap perlumbaan.

Bukan itu saja, ketika ini sudah terdengar suara-suara yang seakan memberikan isyarat bahawa pasukan itu sudahpun mempunyai calon yang dilihat paling sesuai untuk mengambil alih stering Tsunoda dengan ciri-ciri yang dimiliki.

Antara yang kuat bertiup ketika ini adalah pelumba muda pasukan itu yang semakin menyinar dalam siri perlumbaan Formula 2, Arvid Lindblad.

Walaupun hanya berusia 17 tahun ketika ini,  Lindblad dilihat memiliki sifat yang mencukupi dan kemampuan yang mencapai tahap diperlukan pasukan Red Bull Racing dalam perlumbaan Formula 1.

pasukan itu dilaporkan sudah mengemukakan permohonan kepada FIA bagi pengecualian lesen super F1 untuk bintang muda berkenaan, yang hanya akan mencecah usia 18 tahun pada Ogos ini.

Ia turut disokong oleh bekas pelumba, Johnny Herbert yang secara terang menyifatkan bahawa Lindblad adalah calon yang paling sempurna untuk mengambil alih tugas Tsunoda.

"Anda sentiasa berada dalam bahaya kehilangan tempat jika anda bergelut seperti Yuki Tsunoda, seperti yang pernah dialami Liam Lawson, Pierre Gasly dan Alex Albon ketika menjadi rakan sepasukan Max Verstappen," kata Herbert kepada YaySweepstakes.

Pasukan Red Bull Racing ketika ini menduduki tangga ke-4 keseluruhan bagi kategori pengeluar ketika Verstappen sedang bertungkus lumus untuk menyumbangkan mata buat pasukan itu.

Perlumbaan F1 akan diteruskan lagi hujung minggu ini di Grand Prix Canada di mana kesemua pemandu akan kembali berentap di litar  Gilles-Villeneuve, Montreal.

Litar sejauh 4.361 kilometer itu akan menyaksikan kesemua pasukan terpaksa mengharungi perlumbaan sebanyak 70 pusingan dalam perebutan podium kejuaraan seterusnya. 
 

Advertisement

Must Watch Video