HOKI
Naik ranking lonjak semangat skuad hoki negara
Keputusan positif diraih skuad hoki negara dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) menyaksikan ranking Malaysian Tigers naik satu anak tangga ke kedudukan kesembilan dunia.
Pengendali skuad negara, Arul Selvaraj, percaya peningkatan ranking itu serta keputusan muncul naib juara ACT menjadi penyuntik semangat kepada pasukannya untuk tampil lebih baik dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 di China bulan depan.
“Setibanya di India (kejohanan ACT) kita berada di ranking ke-10 dunia. Tetapi selepas tamat kejohanan ini dan mengumpul mata yang cukup, kita sudah melonjak ke tempat kesembilan.
Iklan
“Kita telah memintas pasukan Korea Selatan dan ini adalah satu perangsang untuk kami buat lebih baik apabila ke Sukan Asia nanti,” katanya.
Impian skuad hoki negara untuk meraih kejuaraan ACT kali ini tidak kesampaian apabila ditundukkan pasukan di ranking ketiga dunia, India, 3-4 dalam aksi final di Chennai, India pada Sabtu lalu.
Namun, pencapaian itu boleh dibanggakan apabila ia merupakan pencapaian terbaik skuad negara sejak ACT diperkenalkan pada 2011.
Sebagai rekod, Malaysian Tigers hanya menghuni tempat ketiga bagi edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.
Dalam pada itu, Arul percaya pemainnya mampu meraih emas di Hangzhou sekiranya terus konsisten menambah baik kualiti permainan.
“Menentang India menunjukkan kemampuan kita. Tetapi, bagi saya, kita lebih baik daripada India dalam beberapa aspek seperti tersusun di padang, posisi dan permainan secara berpasukan,” katanya lagi.
Dalam Sukan Asia Hangzhou 2022, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia,
Sementara itu, India pula berada dalam Kumpulan A bersama Jepun, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.
Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir. Pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan Asia adalah memenangi pingat perak edisi Guangzhou pada 2010 dan Jakarta-Palembang pada 2018.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video