Nabba Malaysia perkenal kelainan format kejohanan bina badan
Shaiful Shamsudin
Oktober 17, 2022 20:02 MYT
Oktober 17, 2022 20:02 MYT
Arena sukan bina badan dirancakkan lagi dengan penubuhan Persatuan Bina Badan Kebangsaan (Nabba) Malaysia yang mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada 14 Oktober lalu.
Presiden Nabba Malaysia, Muhammad Shukri Ramli, berkata pihaknya perlukan sedikit masa dan belum berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi pengiktirafan.
Nabba Antarabangsa meluluskan penubuhan Nabba Malaysia pada Februari lalu yang terdiri daripada Lapan negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor, Pahang, Perak, Sarawak dan Kelantan.
"PJS telah luluskan dan kami ada lapan badan persatuan NABBA di peringkat negeri. Persatuan induk telah ditubuhkan dengan lapan peringkat negeri yang telah tersedia.
"Pertubuhan ini telah bersedia dan diperakui tapi ke MSN masih belum. Kami masih baru dan tahun depan kami baru akan bercakap dengan MSN. Kami hendak tunjukkan dulu pencapaian kami di luar negara.
"Kami juga ada memohon peruntukan daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Tahun ini juga kami telah terima peruntukan untuk menjalankan satu kejohanan yang akan diadakan pada 17 Disember 2022," katanya dalam sidang media di ibu kota hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden Nabba Malaysia, Abdul Halim Budin, turut berkongsi bahawa persatuan ini berbeza dengan persatuan kebangsaan sedia ada daripada segi teknikal dan pengiraan markah.
"Yang pertama kami sama-sama membangunkan sukan bina badan.
"Tetapi dalam masa sama, format mereka adalah mengikut berat badan, tapi kami ikut ketinggian. Teknikal dan penjuriannya berlainan, begitu juga kategori wanita.
"Kami akan beri ruang kepada semua ahli kami yang bebas menyertai pertandingan anjuran persatuan lain," kata bekas atlet negara itu.