Mun Yee laung gandingan lebih mantap bersama Hanis Nazirul
Penulis Jemputan
Mac 26, 2019 22:26 MYT
Mac 26, 2019 22:26 MYT
Atlet terjun negara, Leong Mun Yee, menyasarkan satu lagi pingat dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia di Kanada bulan depan di samping gandingannya, Hanis Nazirul Jaya Surya, sebelum bersara.
Penerjun berusia 35 tahun itu sudah meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa tetapi Mun Yee masih mempunyai misi yang ingin dicapai dalam saingan Siri Dunia kali ini.
Atas dasar itu, Mun Yee menegaskan waktu yang ada ketika bergandingan dengan Hanis Nazirul tidak boleh disia-siakan.
Ini selepas keputusan yang kurang memberangsangkan dalam saingan Siri Dunia Beijing bulan ini apabila menamatkan saingan 10 meter platform seirama di tangga tercorot.
"Sasaran utama kami pada tahun ini adalah Kejohanan Dunia (Julai depan) kerana ia juga menawarkan tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020 sementara Siri Dunia pila sebagai medan persiapan.
"Sudah tentu kami menginginkan medal dalam Siri Dunia tetapi Kejohanan Dunia adalah keutamaan kami," katanya.
Mun Yee mengakui keputusan hambar itu disebabkan kekurangan latihan dan persiapan, namun kali ini dia sudah bersedia untuk meraih podium selepas bekerja keras menjalani latihan.
"Persiapan untuk menghadapi Siri Dunia sebelum ini dilakukan dalam keadaan agak tergesa-gesa.
"Darjah kesukaran terjunan juga rendah dan kami ingin meningkatkan lagi tahap persembahan.
"Saya harap kami dapat menghasilkan prestasi yang lebih baik," katanya lagi.