SUKAN LAIN

MTBC terpaksa gugurkan penyertaan kerana kurang dana

Penulis Jemputan 15/01/2019 | 09:31 MYT
Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Datuk Dr. P. S. Nathan, mengakui penyertaan atlet dalam beberapa kejohanan perlu digugurkan ekoran kekurangan peruntukan kewangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) terhadap persatuan itu.
Sebelum ini, skuad boling negara terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai Kejohanan Cheetah anjuran Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) ketika MTBC terpaksa merombak jadual kejohanan musim 2019.
Mereka kini hanya mampu menumpukan kepada Kejohanan Wanita Dunia (Ogos), Kejohanan Asia (Oktober) dan Sukan SEA Filipina (Disember).
Peruntukan sebanyak RM500,000 yang diberikan pula diterima secara dua peringkat, iaitu pada awal dan akhir tahun ini.
"Kami telah mengadakan perbincangan dan menetapkan kejohanan penting untuk disertai.
"Sesetengah kejohanan perlu digugurkan dan kami akan terus berbincang dengan barisan atlet.
"Setakat ini, kami berpuas hati dengan perancangan yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Dr Nathan tidak meletakkan sebarang sasaran kepada atlet yang akan bertanding dalam Sukan SEA Filipina kerana yakin mereka akan memberikan persembahan terbaik dalam setiap acara.
"Sasarannya adalah mereka perlu memberikan aksi terbaik.
"Jika mereka gagal melakukannya, mereka tidak akan terpilih dalam kejohanan yang akan datang.
"Saya akan menilai sama ada mereka memberikan aksi terbaik atau tidak," tambahnya.
;