Perenang Kuala Lumpur, Muhammad Dhuha Zulfikry, yang menjadi sensasi selepas melakar lima rekod baru Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 mengalihkan tumpuannya untuk merebut gelaran Olahrawan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang bermula esok.

"Saya tidak letak tinggi sebab baru pulang daripada Sukma, dua minggu lalu.

"Tapi saya mahu dapatkan gelaran Olahragawan sebab tahun lalu tidak diberikan kesempatan.

"Tapi saya harus berwaspada dengan perenang Selangor yang merupakan pencabar terdekat," katanya yang akan menyertai menyertai 10 acara.

Sementara itu, Timbalan merangkap Pengarah Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian, Pengarah Bahagian Sukan (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ithnin Mahadi, menjelaskan MASUM akan ditambah baik, antaranya penganjurannya dalam bentuk karnival.

"Tahun ini kami adakan dalam bentuk karnival dengan empat negeri menjadi pengelola," katanya sebagai tetamu di studio Nadi Arena sebentar tadi.

Tirai Fasa Dua MSSM 2024 yang meliputi 22 jenis sukan bakal disingkap esok.

Melihat kepada 22 jenis sukan tersebut, antara yang mencuri tumpuan adalah akuatik, bola sepak dan badminton uamg merupakan sukan teras dan kerap menyumbang pingat di peringkat rendah dan antarabangsa.

MSSM yang melibatkan bola sepak pula akan menyaksikan negeri Johor sebagai pengelola dan ia akan diadakan selama enam hari bermula 14 September sehingga 20 September ini.

Akuatik dan badminton akan berlangsung di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama lima hari juga bermula Sabtu ini.

Edisi lalu menyaksikan Selangor muncul johan keseluruhan. persoalannya apakah Selangor kekal sukar digugat atau bakal ada juara baru?