Pelapis renang kebangsaan, Muhammad Dhuha Zulfikry, mengakui berasa lega apabila dia mampu untuk mengkekalkan konsistensi untuk mempamerkan prestasi terbaik di Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024, meskipun hanya menani tempoh rehat yang singkat selepas pulang dari Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Pemenang enam pingat emas Sukma 2024 itu turut berharap dia mampu mencipta keputusan positif dalam baki enam lagi acara yang bakal diharunginya selepas meraih empat pingat emas disamping memecahhkan dua rekod kejohanan, masing-masing bagi acara 100 meter kuak kupu-kupu dan 200 meter gaya bebas sebelum ini.
"Sejujurnya saya tidak sangka dapat raih emas dan pecahkan rekod temasya dalam Sukma 2024.
"Di MSSM ini saya tidak jangka dapat beri prestasi terbaik memandangkan baru pulang dari Sarawak. Sasaran saya tidak tinggi kerana hanya tiga saja acara kegemaran dan tiga lagi saya sudah lama tidak lakukan.
"Sasaran paling tinggi saya adalah untuk dapat layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dhuha turut memaklumkan bahawa dia kini sedang dalam persiapan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar aliran Sains Komputer berusia 16 tahun itu meletakkan sasaran untuk meraih 5A daripada sembilan mata pelajaran yang diambil.
"Memang setiap hari berlatih berenang. Untuk pelajaran saya akan masuk kelas tamabahan seawal yang mungkin begitu juga selepas latihan. Saya sasar raih lima A dalam SPM," katanya.
Saufi Tahir
Mon Sep 16 2024