SUKAN LAIN

MSSM sasar lahirkan generasi atlet berjati diri tinggi

Shaiful Shamsudin 04/09/2023 | 11:19 MYT
Impian melahirkan lebih ramai atlet yang mempunyai jati diri tinggi menjadi penekanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, menjelaskan konsep pembangunan sukan pada hari ini menekankan aspek membangunkan semangat dan jiwa kanak-kanak seawal peringkat sekolah.
Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) memainkan peranan besar ke atas 10,221 buah sekolah dalam mendokong falsafah kebangsaan bahawa setiap individu itu ada potensi.
Dalam ke arah menjayakan misi ini, MSSM enggan meminggirkan sebarang kanak-kanak dengan meliputi lima elemen yang terdiri daripada jasmani, rohani, emosi, sosial dan intelek yang menjadi asas kepada rakyat Malaysia.
"Anak-anak ini perlu diberi ruang seluas-luas agar MSSM dapat mencungkil bakatnya.
"Ada pelajar yang dari sudut akademiknya biasa-biasa sahaja tetapi apabila berpeluang untuk bertanding, mereka tunjukkan kehebatan dan mampu ke tahap tinggi.
"Ibu bapa di luar sana juga sudah mula menunjukkan sokongan luar biasa untuk melihat anak-anak mereka terlibat dalam sukan.
"Mereka sudah nampak bahawa anak mereka boleh pergi jauh ke hadapan, sampai ke peringkat menjana pendapatan.
"KPM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dari dulu bekerjasama untuk melatih guru-guru yang akan melahirkan atlet yang hebat, seterusnya diserahkan ke Majlis Sukan Negara (MSN).
"Hari ini, kami mahu melahirkan atlet yang mempunyai jati diri dalam sukan. Yang ada sikap yang baik untuk bertahan dalam sukan untuk jangka masa panjang.
"Sikap itu akan membawa satu kebanggaan untuk mengharumkan negara supaya perkara ini akan berpanjangan.
"Dan apabila berjaya, mereka dapat pula membanggakan guru-guru dan negara di persada dunia," katanya secara eksklusif di Nadi Arena.
#MSSM #Kementerian Pendidikan Malaysia #Majlis Sukan Sekolah Malaysia
;