SUKAN LAIN
MSPL 2025 semarakkan sukan pickleball Malaysia!
Saingan liga pickelball buat julung kalinya dianjur menerusi Kejohanan Machi Machi Malaysia Super Pickleball League (MSPL) 2025 bakal bermula Sabtu ini.
Lapan pasukan bakal bersaing dalam tiga sirkit bermula Sabtu ini sebelum menghadapi Hari Kejohanan pada 1 Mac nanti.
Menerusi rancangan Nadi Arena, Pengasas Bersama dan kapten Diamond Bangers, Jimmy Liong berkata, "Idea ini tercetus bagi mendapatkan lebih ramai orang bermain sukan pickleball. MSPL menghadirkan permainan yang bersifat berpasukan seperti yang diterap dalam saingan di Amerika Syarikat.
Iklan
"Kami cuba untuk menunjukkan kualiti pickleball di Malaysia berada di tahap yang tinggi. Jadi kami telah mengumpul barisan pemain terbaik untuk menghadirkan permainan yang terbaik."
Jimmy hadir ke saingan MSPL 2025 dengan status juara Kejohanan Dunia Pickleball (WPC) 2024 ternyata bakal menjadi pemain tumpuan bagi saingan sulung ini.
Sementara itu legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, turut tidak ketinggalan untuk membuat penampilan dalam karier terbaru sebagai atlet pickleball bertanding di bawah naungan City Poppers.
Dia menjelaskan, ""Saya mula bermain pickleball bulan Mei tahun lalu. Mudah untuk mengetahui cara bermain tetapi sukar untuk mahir. MSPL ini telah dibuka kepada umum dan setiap kapten pasukan yang bertanding memiliki hak untuk memilih pemain beraksi dalam pasukan mereka.
"Sangat menarik kerana saya sentiasa datang ke Astro Arena untuk bercakap mengenai sukan hoki dan hari ini kita bercakap tentang sukan pickleball."
Kejohanan bakal berlangsung di Grand Pickleball Arena (GPA Subang) dan juara bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM12,000.
Must-Watch Video