SUKAN-LAIN
MSDeaf bakal terima RM3 juta hadapi Deaflympics 2025
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan bahawa tambahan dana sebanyak RM3 juta bakal diberikan kepada Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).
Peruntukan tersebut disalurkan sebagai bentuk persiapan menghadapi Sukan Deaflympics 2025 di Tokyo, Jepun.
Begitupun, jumlah tersebut masih dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan dibincangkan menerusi perbahasan Parlimen Malaysia.
"Buat masa sekarang, ia masih dibahaskan dalam Parlimen tetapi di peringkat jawatankuasa, bajet Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah lulus selain ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang buat kali pertama telah memperuntukan RM3 juta kepada mereka seperti durian runtuh.
"Majlis Sukan Negara (MSN) akan berbincang bersama mereka untuk menggunakan dana tersebut sebaik mungkin," katanya ketika Majlis Asia Pasifik Sukan Orang Pekak Kali ke-10.