Pelumba Honfda racing Thailand, Nakarin Atiratphuvaphat, mengungguli sesi latihan bebas kategori MSBK1000 A dalam perlumbaan pusingan keempat Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Nakarin muncul pelumba terpantas latihan bebas 1 dengan catatan 2'19.757s diikuti Azlan Shah Kamaruzaman dari Horizon Racing team dengan 2'23.394s sambil Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha Tekhne Racing Team Asia) ketiga dengan 2'23.760s.


Dalam sesi latihan bebas 2, Nakarin meningkatkan lagi prestasinya, mencatat masa sepusingan terbaik 2'07.197s dan mencapai kelajuan tertinggi 156.88 km/j, untuk mengekalkan pendahuluannya.

Kasma juga menunjukkan kemajuan yang ketara, mencatatkan 2'07.372s, hanya 0.175s di belakang Nakarin. Azlan Shah pula ketiga terpantas dengan 2'07.627s.

Hasil gabungan kedua-dua sesi latihan, Nakarin muncul pelumba terpantas secara keseluruhan, manakala Kasma kedua dan Azlan Shah ketiga.

Nakarin Berkata: "Saya berasa baik selepas kedua-dua FP1 dan FP2 dan saya gembira dengan keputusannya. Ia adalah persediaan yang sama seperti perlumbaan terakhir, jadi sekarang saya hanya perlu tidur lena malam ini dan cas semula untuk esok. saya tidak sabar-sabar untuk menikmati perlumbaan hujung minggu."