PERMOTORAN

MSBK: Masalah jentera tidak halang Damok panjat podium

Muzaffar Musa 13/10/2024 | 09:52 MYT
Masalah jentera yang dialami pada awal perlumbaan tidak mengganggu fokus pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Syarifuddin Azman, untuk memanjat podium dalam perlumbaan kedua pusingan ketiga saingan 600cc Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Pelumba yang mesra disapa Damok itu bangkit daripada masalah berkenaan untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Dalam pada itu, rakan sepasukan Damok, yang juga merupakan pendahulu keseluruhan, Helmi Azman, turut mengalami masalah sama sehingga terpaksa memulakan perlumbaan di tangga tercorot.
Bagaimanapun, sedikit demi sedikit, dia mula mengejar kedudukan sehingga berhasil menamatkan saingan di tempat keempat.
"Pada ketika itu, saya dan Helmi mengalami masalah yang sama.Saya hanya masuk gear dan menghadapi selekoh pertama," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.
"Selepas itu, saya cuba mematikan enjin saya dan menghidupkannya semula kemudian cuba untuk mengekalkan kedudukan.
"Saya nampak jurang saya dengan Helmi semakin besar dan sewaktu tiga pusingan terakhir, saya terkejut dia semakin hampir dengan saya, jadi saya gembira dapat menaiki podium pusingan ini," katanya.
"Permotoran","Kejuaraan Superbike Malaysia","MSBK","Syarifuddin Azman"
;