PERMOTORAN
MSBK: Helmi Azman pasang impian berganda 600cc
Helmi Azman terus mendominasi perlumbaan pertama pusingan ketiga kategori 600cc Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) dengan meninggalkan pelumba Thailand, Thanat Laoongplio dan Syarifuddin Azman.
Kemenangan lima kali berturut-turut hari ini mengekalkan Helmi sebagai pendahulu dengan pungutan 125 mata.
Berbaki satu perlumbaan sebelum menamatkan pusingan ketiga ini, Helmi berharap mampu menghasilkan prestasi yang konsisten di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Iklan
"Saya cuba buat permulaan awal kerana cuba lari daripada kelompok besar.
"Saya mahu tingkatkan kelajuan motosikal.
"Saya bukan untuk menang sahaja, malah sebagai persiapan untuk mengharungi ARRC (Kejohanan Motosikal Asia).
"Rakan sepasukan saya termasuk pencabar saya, Thanat, juga semakin meningkat jadi saya perlu sentiasa bekerja keras," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
Kategori 250cc dijuarai Farres Putra yang terpaksa berjuang berseorangan selepas rakan sepasukannya mengalami kemalangan di selekoh terakhir.
Keadaan itu memberi motivasi kepada Farres yang juga pertama kali berlumba menggunakan jentera 250cc dalam kancah MSBK walaupun bermula di petak kelima.
"Ia hasil semangat diberikan pasukan selain kehadiran ibu bapa di sini.
"Saya yakin dengan motosikal saya yang berada dalam keadaan yang sangat baik.
"Saya harap dapat akhiri perlumbaan di podium bersama rakan sepasukan kerana kami mahu sama-sama berusaha," katanya.
Sementara itu, pelumba motor sensasi negara, Azlan Shah Kamaruzaman, menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas di pintas saat akhir oleh pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvaphat, manakala, Kasma Daniel Kasmayudin menduduki kedudukan ketiga.
Must-Watch Video