Kejuaraan Superbike Malaysia MAM (MSBK) akan kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi saingan pusingan ketiga hujung minggu ini untuk pusingan ke-3.
Arash Tsunami daripada pasukan BLH Glassteel 46 Racing akan kembali beraksi untuk meneruskan cabaran di kedudukan teratas dalam kategori Perlumbaan Elit Yamaha R15M.
Dia mungkin tidak menguasai litar tetapi konsistensinya dalam musim sulung kategori perlumbaan itu, di mana dia menaiki podium tempat kedua sebanyak dua kali, sudah pasti mendorongnya untuk terus menduduki puncak carta.
Mendahului dalam kategori pelumba Yamaha, Arash memerlukan percaturan strategi dalam perlumbaannya jika berhasrat untuk mengekalkan kedudukan.
Bagaimanapun, perancangan bukan selalu dapat diterjemahkan kepada realiti dan dia perlu bertindak pantas semasa perlumbaan.
Dalam Musim 2022, Arash bertanding dalam Perlumbaan Yamahalube Y16ZR MasterClass, di mana dia menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 66 mata.
Musim lalu, dalam kategori perlumbaan yang sama, dia menamatkan musim di tempat ketujuh.
Peralihan daripada jentera underbone kepada jentera sukan sudah pasti memerlukan usaha keras dan Arash telah membuktikan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan cepat, bukan sahaja dalam mengendalikan jenteranya tetapi juga dengan prestasi yang melebihi norma.
Masih awal untuk menentukan sama ada dia akan dapat mengekalkan kedudukannya atau tidak memandangkan hanya ada perbezaan dua mata dengan pencabar terdekatnya tetapi pusingan ketiga kali ini pasti akan memberikan gambaran yang lebih baik.
Mengulas mengenai perlumbaan itu, Arash berkata: "Saya bersyukur kerana buat masa ini, saya dapat mencari keserasian dengan jentera saya dengan baik.
"Peralihan saya dari Y16ZR ke R15M terus meningkatkan keupayaan fizikal saya dan saya cukup gembira dengan hasilnya setakat ini.
"Saya lebih kuat daripada segi fizikal dan mental. Sepang adalah salah satu litar kegemaran saya dan ia menyimpan beberapa kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan.
"Saya meraih kemenangan pertama semasa tahun pertama saya dalam sukan permotoran di Sepang, jadi ia adalah satu pencapaian yang cukup baik untuk saya di sana.
"Untuk pusingan akan datang, matlamat saya adalah untuk mengekalkan kedudukan saya dan untuk itu, saya perlu mengekalkan fizikal yang baik dan juga meningkatkan stamina saya," katanya.
Stadium Astro
Mon Oct 07 2024