Skip to main content

Sukan Lain

MRL: UiTM Lions sasar pentas akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ragbi.jpg
Pasukan ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM), UiTM Lions, menyasarkan untuk layak ke pentas akhir saingan Divisyen Premier Kejohanan Liga Ragbi Malaysia (MRL) 2019 yang bermula 16 Februari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said, berkata kehadiran empat pemain import dari Fiji mampu menyuntik semangat pemain untuk kekal optimis dengan sasaran itu.

"Tahun ini kami menampilkan empat pemain import dari Fiji -- Are Monoka, Lepani Likusuasua Peremo Tuivanuavou, Peceli Davobalavu dan Iowane Teba.

“Ini kali ketujuh UiTM Lions beraksi dalam liga ini. Sebelum ini, pada 2013, kami bermain sehingga ke peringkat akhir.

"Jadi, saya harap dengan persiapan rapi, kami sekali lagi dapat mengulangi pencapaian sama," katanya dalam sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Jersi, Penaja dan Pemain Ragbi UiTM Lions di Kompleks Sukan UiTM, hari ini.

Turut hadir, ketua jurulatih UiTM Lions, Zamri Abd Kahar; ketua pasukan UiTM Lions, Shah Izzat Shah Rudin dan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

Dalam masa sama, Dr. Abdullah berkata jersi yang bakal digunakan dalam kejohanan kali ini akan dapat membantu pemain berasa lebih selesa dan sesuai mengikut fizikal mereka serta cuaca di negara ini.

"Kami juga bercadang menjalin kerjasama penyelidikan dalam menghasilkan fabrik jersi ragbi bersama Fitech Fitwear menerusi kepakaran Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.

"Ini seterusnya dapat membantu menghasilkan fabrik pakaian sukan lebih berkualiti setaraf dengan jenama sukan dari luar negara," katanya.

Pada masa sama, UiTM Lions turut mendapat suntikan empat penaja -- Fitech Fitwear, Kumibrothers, Hyba Quest dan SkyWorld Development.

UiTM Lions, yang diwakili 21 penuntut UiTM, lima bekas penuntut universiti itu serta empat pemain import dari Fiji, dijadual menentang SSTMI Tsunami di Padang A, Universiti Putra Malaysia, Serdang, pada hari pembukaan.

Lapan pasukan akan bertanding sehingga 24 Mac ini dengan UiTM Lions berada dalam Kumpulan A bersama-sama juara bertahan, Keris Conlay, UPM Angels dan SSTMI Tsunami. 

-- BERNAMA

 

Advertisement

Must Watch Video