Johor Bahru akan menemukan juara baru Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) hujung minggu ini!

Ia dianjurkan bersama oleh MOONTON Games dan KPRJ Sports Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), di mana peringkat akhir (playoff) Liga Profesional MLBB Malaysia (MPLMY) ini akan diadakan di luar kawasan Lembah Klang buat kali pertama dalam sejarah enam tahun penubuhannya.

Pentas akhir Liga Premier MLBB ini akan dianjurkan dari 31 Oktober hingga 3 November ini di Kompleks Sukan Educity Indoor Arena di Iskandar Puteri, di mana enam pasukan teratas akan bertarung merebut sebahagian besar dari hadiah wang tunai terkumpul, AS$100,000 (RM437,880).

Playoff musim ini juga akan menjadi yang terbesar dalam sejarah liga berkenaan.

Playoff musim ini akan meraikan semangat kebanggaan negara, di mana dua pasukan tempatan – Grand Finalis Musim Ke-14 – bakal mewakli Malaysia di Kejuaraan Dunia M6 di hadapan ribuan penonton tempatan.

Malaysia akan menganjurkan edisi keenam Siri M -- sebuah kejohanan antarabangsa berprestij MLBB dan salah satu acara e-sukan paling popular di seluruh dunia -- yang akan menyaksikan 23 pasukan dari lebih 16 wilayah bertanding merebut hadiah wang tunai terkumpul AS$1 juta (RM4.38 juta) dari 21 November hingga 15 Disember depan..

Playoff Musim Ke-14 ini adalah lanjutan daripada peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan Madani 2025 bagi memperkukuh ekosistem e-sukan.

Malah, Grand Finals musim ke-14 pada 3 November ini akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato' Seri Dr. Zahid bin Hamidi, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli bin Abd Halim.

Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan di MOONTON Games, Fikri Rizal Mahruddin, berkata: "Malaysia kini memasuki era baharu e-sukan dan ekosistem kita mempunyai peningkatan momentum dari dulu.

"Pada Januari lalu, kami melancarkan liga pembangunan MLBB, MAL MY (Liga Akademi MLBB Malaysia) bagi memberikan pemain e-sukan satu platform yang lebih tersusun untuk memasuki arena profesional e-sukan.

"Pada Julai lalu, Selangor Red Giants membawa pulang kemenangan pertama kita dalam kejohanan MLBB Malaysia di peringkat antarabangsa dengan memenangi Mid Season Cup 2024 di Arab Saudi. Awal bulan ini pula, kerajaan mengumumkan RM20 juta peruntukan bagi e-sukan dalam Belanjawan Madani 2025.

"Playoff Musim Ke-14 akan menjadi langkah penting seterusnya bagi perkembangan e-sukan negara," katanya.

KPRJ, melalui KSSB, mengumumkan penganjuran acara e-sukan tahun ketiga berturut-turut, bertujuan untuk memperkasakan lagi arena e-sukan tempatan dengan menjadi hos bersama bagi Playoff MPL MY Musim Ke-14 di Johor.

“Playoff MPL MY Musim Ke-14 bukan sahaja mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama, tetapi juga mengukuhkan statusnya sebagai hab e-sukan terkemuka, mengakui nilai besar yang dimiliki oleh industri e-sukan, sambil menjadikan Johor sebagai kuasa dinamik untuk pertumbuhan ekonomi dan pelancongan,” kata Yang Berhormat Dato’ Lukman bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ.

Playoff Musim Ke-14 juga akan menjadi yang paling hangat dan terbesar dalam sejarah liga ini. Selain menjadi tempat beraksi bagi bakat-bakat terulung di Malaysia, Festival Selatan juga akan memperkenalkan pelbagai aktiviti mesra keluarga, disediakan secara percuma kepada peminat yang hadir.

Liga ini berkolaborasi bersama Foodelicious bagi mengajurkan festival makanan yang merangkumi lebih 100 gerai makanan di Padang Bola Kompleks Sukan Educity.

Yang lebih menarik, akan ada persembahan dari DJ tempatan, buskers, dan artis indie selain aktiviti mesra keluarga seperti demo memasak secara langsung, bengkel seni, pertandingan memasak, kelas penggubahan bunga dan open mic.

Fikri berkata: "Kami percaya e-sukan adalah untuk semua. Inilah sebabnya kami memperbesarkan komponen festival agar semua orang dapat menikmati masa terluang bersama keluarga dan kami juga menjadikan keseluruhan playoff x Festival Selatan dengan kemasukan percuma. Acara ini adalah hasil kerja keras kami untuk peminat."

Jadual playoff: