MPL MY
MPLMY S15: Ini final paling hebat -- Innocent
Selangor Red Giants (SRG) OG meneruskan legasi keunggulannya dalam Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia dengan mencipta sejarah merangkul hatrik tiga musim berturut-turut.
Semalam, mereka menundukkan Homebois dalam grand final MPLMY Musim Ke-15 menerusi keputusan 4-0.
Lebih mencuri tumpuan, sejarah seakan-akan berulang yang menyaksikan SRG.OG menjulang mahkota kejuaraan dengan rekod sembilan kemenangan tanpa kalah dan membuat percaturan bersama Homebois dalam grand final seperti mana yang direkodkan pada tahun lalu.
Iklan
Meskipun dengan adanya dua pendatang baharu musim ini; DX Soul dan Ocean Black, keampuhan benteng dan serangan SRG.OG jelas sememangnya sukar untuk digugat selaku penghuni takhta saingan, sekali gus meletakkan kedudukan Ocean Black sebagai sekadar pelengkap jadual.
"Ini adalah final paling hebat pernah kami harungi.
"Berbanding dua final edisi lalu, jalan kami tempuh kini lebih panjang tapi kami lebih konsisten," kata Pemain Final Paling Bernilai (FMVP), Innocent.
Bagaimanapun, perjuangan misi skuad kendalian, Michael Angelo Bocado, itu belum terhenti -- kini sekali lagi segala tumpuan akan terarah kepada SRG.OG dalam mempertahankan trofi kejohanan antarabangsa Mid Season Cup (MSC) 2025 di Riyadh, Arab Saudi.
Pentas yang juga akan menyaksikan kehadiran Homebois itu bakal menjadi medan sebenar pertarungan nama-nama besar yang berani mencabar status quo, SRG.OG.
"Kami amat bersyukur atas pencapaian hebat ini.
"Kami amat berterima kasih kepada peminat kerana tanpa mereka, kami tidak mampu memenanginya tiga kali berturut-turut.
"Ini satu catatan bersejarah buat kami dan kami mendambakan lebih banyak kejuaraan lagi.
"Kami mahu meraikan kejayaan ini," kata jurulatih SRG,OG, Michael Angelo Bocado.
Must-Watch Video