Monster Vicious (MV) terus mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dalam carta Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-14, selepas menewaskan Team Vamos 2-1 di Stadium MBSJ Serdang Jaya, sebentar tadi.

Ammar Asyraf Rahman ataupun lebih dikenali sebagai Martzyyyy menjadi watak penting untuk menewaskan Team Vamos dengan aksi yang kemas dalam Perlawanan 1 dengan kemenangan dalam tempoh 15 minit.

Begitupun, Vamos perlu membayar harga mahal untuk mengheret MV ke perlawanan penentuan selepas menerima tentangan sengit daripada pasukan yang hanya dibarisi pemain tempatan itu untuk menang 22 berbalas 14 dalam Perlawanan 2.





Tempoh 17 minit diperlukan MV untuk mencalarkan rekod kemenangan Team Vamos sekali gus menamatkan badi dua kekalahan berturut-turut mereka sebelum ini untuk mendaki ke kedudukan kedua dalam carta liga MPL Malaysia dengan kemenangan dalam set penentuan.

Untuk rekod, dalam saingan minggu ketiga menyaksikan MV tewas kepada Homebois dan RSG Malaysia.





Kemenangan itu menyaksikan Martzyyyy dinobatkan sebagai Most Valuable Player Of The Match (MVP) selepas menjadi watak penting dalam kemenangan pasukannya itu.