MPLMY S14: Saiful Addin optimis Homebois di landasan terbaik mara ke pusingan kalah mati

Saufi Tahir
Oktober 1, 2024 20:10 MYT
Jurulatih Homebois, Sheikh Saiful Addin, beranggapan pasukan sedang berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-14 sekali gus mara ke Kejohanan Dunia MLBB M6, Disember nanti.
Dia yang lebih dikenali sebagai 'Botak' menjelaskan bahawa pemilihan pemain baru iaitu Markho Jaianne Turla atau lebih dikenali sebagai Crush sudah dibincangkan sejak minggu kedua lagi bagi memperkuatkan pasukan.
"Saya berpuas hati dengan persembahan Homebois tetapi jika boleh saya mahu aksi lebih baik pada masa akan datang. Sekarang ini kita telah mencapai 85% ke 90% tahap bersedia dan mahu kekal di tahap kami berada sekarang,"
"Pemilihan Crush sudah dibincangkan dalam minggu kedua tetapi kami mahu ketengahkan pemain yang kita ada terlebih dahulu, selepas kami sudah tahu kelemahan baru kami bawa masuk Crush. Dia belum pernah beraksi di MPL dan MAL sebelum ini.
Botak turut memaklumkan bahawa ketika ini merupakan detik genting buat Homebois melakar kemenangan bagi melayakkan pasukan ke pusingan kalah mati nanti.
Homebois kini berada di kedudukan kelapan carta liga MPLMY dengan mengumpul lapan mata selepas melakar satu kemenangan dalam enam perlawanan.
"Persediaan perlu sehabis baik kerana ini adalah detik genting untuk ke pusingan kalah mati nanti.
"Kami sedang merapikan persediaan kami, kami cuba beri sehabis baik berdasarkan apa yang kami telah persiapkan." katanya.
#Homebois #INIGAYAKITA #M6LAYSIA #MPLMYS14 #PANTANGMENGALAH #Mobile Legends Bang-Bang #S14
;