MPLMY S14: Budaya 'taunting' bukan cara SRG
Najmi Iman
November 5, 2024 17:30 MYT
November 5, 2024 17:30 MYT
Seperti sedia maklum, budaya menyindir atau istilah lebih tepat 'taunting' sudah menjadi kebiasaan dalam permainan e-sukan khususnya di Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia.
Rutin berkenaan dianggap normal oleh semua peminat tatkala perang psikologi itu sering memeriahkan suasana permainan, sekali gus menghangatkan arena pertempuran setiap pemain.
Selain mempunyai pakar kesihatan mental, Selangor Red Giants (SRG) turut mempunyai peraturan tersendiri sebagai panduan supaya lebih berdisiplin dan menjaga etika ketika sedang dalam fasa permainan.
SRG tidak memainkan sebarang naratif yang berbaur ejekan apabila pendekatan tersebut dilarang sama sekali untuk dilakukan.
"Saya sentiasa mengingatkan kepada pasukan supaya merendah diri kerana akan ada lebih hebat daripada awak semua.
"Apa guna kalau kami menyindir orang lain tetapi boleh berbalik kepada diri sendiri jika kami kalah.
"Hormati pihak lawan dan nikmati setiap permainan yang ditempuhi.
"Untuk mengekalkan konsistensi bukanlah satu perkara yang mudah," kata pengasas bersama SRG, Simon Lim.