MPFL

MPFL: Terengganu atasi saingan sengit Perak

Azizan Hashim 03/08/2019 | 15:17 MYT
PERAK 3 TERENGGANU 4
Jaringan pemain terbaik perlawanan, Ahmad Aqil Khalis Adli Khairuz, pada tiga minit terakhir membolehkan Terengganu mencatatkan kemenangan 4-3 ke atas Perak dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.
Pemain itu meledakkan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Muhammad Syawal Sabaruddin, untuk meleburkan rekod tanpa kalah Perak di laman sendiri.
Kemenangan itu juga menamatkan rentetan dua kekalahan yang dialami Terengganu manakala Perak gagal untuk mencari kemenangan keempat berturut-turut.
Penjaring terbanyak Perak, Mohd Ridzwan Bakri, tidak memerlukan masa yang lama untuk menceriakan penyokong setia tuan rumah.
Jaringan pada minit pertama perlawanan itu terhasil selepas Ridzwan menyudahkan peluang satu lawan satu dengan penjaga gol Terengganu, Mohd Zikry Aiman Zamri.
Aidil Shahril Rosli melebarkan kedudukan buat Perak pada minit keempat selepas ledakan kaki kirinya terus menerjah gawang.
Ketinggalan dua gol membuatkan Terengganu bangkit daripada lamunan dan kembali memperkemaskan aksi dengan siri gerakan menarik yang dicipta.
Skuad bimbingan Mohd Rozairi Ahmad itu merapatkan kedudukan pada minit ke-12 menerusi Alif Shafiq Suhaimi, yang menolak mudah hantaran ‘set piece’ yang dimulakan Mohd Aizat Saari.
Berselang tiga minit, perlawanan kembali seimbang apabila Ahmad Aqil Khalis, yang tidak dikawal pemain Perak, menolak masuk hantaran lintang Mohd Hafiz Ismail.
Perak terus tertekan setelah Terengganu mendapat sepakan penalti kedua (second spot) berikutan enam kesalahan terkumpul yang dilakukan The Bos Gaurus.
Mohamad Idham Shafuan Iraman, yang mengambil sepakan itu, tidak mensia-siakan peluang untuk memberikan jaringan pendahuluan buat pelawat.
Aksi menarik kedua-dua pasukan diteruskan dalam babak kedua dengan corak permainan berkualiti tinggi ditampilkan.
Mohamad Awalluddin Mat Nawi kembali membuatkan Stadium Indera Mulia bergempita pada minit ke-34 selepas percubaannya daripada gerakan ‘set piece’ gagal diselamatkan Mohd Zikry, sekali gus menjadikan kedudukan 3-3.
Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Ahmad Aqil Khalis meledakkan rembatan padu dari luar kawasan D hasil sepakan penjuru.
;