MPFL: Pengalaman perit jadi azimat JDT
Shaiful Shamsudin
September 2, 2023 18:22 MYT
September 2, 2023 18:22 MYT
Kegagalan menjulang kejuaraan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) membuatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin membara untuk menempah slot di pentas final Piala Malaysia.
Berbekalkan kemenangan 3-0 ke atas Selangor MAC dalam separuh akhir pertama -- JDT menjadikan kekalahan kepada Pahang Rangers di Pasir Gudang dalam perlawanan penentuan gelaran liga yang lalu sebagai iktibar bagi mengelak daripada berputih mata di laman keramat mereka.
"Kami ingin menguasai bola dan adakalanya ia berisiko jadi sebab itu kami tidak mahu bolos dan perlu menjadi lebih tekal.
"Dalam pertemuan pertama, kami bermain bagus di pertahanan jadi saya harap ia kekal begitu dalam aksi timbal balik," kata pemain futsal JDT, Caio Cesar Garcia Rego.
Sementara itu, watak penting JDT untuk merealisasikan impian mencabar kejuaraan musim ini merangkap pemain yang menggalas peranan 'fixo', Abu Haniffa Hasan, komited terus menjadi penggempur utama selepas meledak 16 gol dalam MPFL.
Biarpun memiliki kelebihan jaringan disamping ketiadaan kapten Selangor MAC, Fariq Muhd, yang dilayangkan kad merah tempoh hari, Abu Haniffa percaya juara bertahan Piala Malaysia itu memiliki kelompok pemain muda yang wajar diberi perhatian.
"Kami tidak ambil mudah dan masih hormati Selangor MAC sebagai pasukan yang bagus.
"Kami juga ada perancangan tersendiri, jurulatih menerapkan kualiti individu dan agresif ketika perlawanan," katanya.