Gombak TOT United ibarat jatuh ditimpa tangga menjelang minggu kedua Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) kerana bukan hanya langkah sumbang dalam perlawanan pembukaan apabila dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT), malah tempang tanpa dua tonggak berikutan layangan kad merah.

Kapten TOT United, Mohd Faisal Saharudin serta Muhammad Syafiq Hamzah, diarah keluar padang dan impak ketiadaan dua tonggak utama ini bakal merencatkan corak permainan bagi pertemuan menentang Sabah esok.

Ditambah pula, Sabah FA masih dibuai kejayaan menewaskan Selangor dalam perlawanan pembukaan yang nyata meletakkan skuad kendalian Patt Sriwijit itu sebagai pasukan pilihan untuk meraih tiga mata.


"JDT merupakan antara yang terkuat musim ini sementara kami diperkuatkan 70 peratus muka baru.

"Tapi kami akan beri tentangan hebat," kata Faisal di Nadi Arena sebentar tadi.

Difahamkan, TOT United bakal mempertaruhkan pemain utama yang baru ekoran ketiadaan Faisal dan Syafiq di samping akan bergantung harap terhadap sentuhan Guntur Sulistyo selaku perancang utama.




Biarpun, tidak dapat beraksi bertemu Sabah FA, Faisal tetap akan memastikan ideologi pasukan akan diterjemahkan.

"Impak Guntur sangat besar dan merupakan kekuatan Gombak TOT.

"Dia juga banyak berkongsi pengalaman dan secara tidak langsung memudahkan corak permainan kami," katanya.