MOTOGP
MotoGP Sepang: Tiada sebarang sesalan buat Kasma Daniel, Azroy Hakeem
Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin, berpuas hati menamatkan perlumbaan Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang hari ini di tempat ke-19.
Pelumba Petronas MIE Racing itu, yang dipilih mengisi slot peluang khas, menamatkan saingan dengan catatan masa 39:18.354s.
Baginya, perlumbaan kali ini akan menjadi satu dorongan untuk dia memperbaiki prestasinya pada masa akan datang.
Iklan
"Yang pertama, saya mengucapkan Alhamdulillah, syukur. Terima kasih juga kepada Petronas kerana memberikan saya peluang untuk berlumba dengan tiket peluang khas ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syen Yeoh.
"Kita sudah meninggalkannya (Moto2) selama dua tahun dan kemudian kembali dengan motor prototaip.
"Jentera ini memang berbeza dengan yang biasa saya gunakan dalam perlumbaan, jadi saya amat bersyukur.
"Memang saya tidak mendapatkan keputusan terbaik tetapi memang agak sukar untuk saya menamatkan perlumbaan dan saya amat-amat bersyukur dapat melakukannya," katanya.
Rakan sepasukan Kasma Daniel, Azroy Hakeem Anuar, pula menamatkan saingan te tempat ke-22 dengan catatan masa 39:20.918s
Bagi Azrooy Hakeem, tiada sebarang sesalan buat dirinya biarpun menamatkan perlumbaan di tempat terakhir, bahkan dia bersyukur kerana diberikan peluang untuk membuat penampilan sulung di peringkat Moto2.
"Ia perlumbaan yang sukar. 18 pusingan memang terasa amat panjang kerana kebiasaannya saya hanya berlumba dalam 12 pusingan sahaja.
"Memang fizikal saya agak kekurangan tetapi saya mencuba untuk menamatkan perlumbaan dengan selamat.
"Alhamdulillah, walaupun tidak begitu baik tetapi saya telah mencuba dengan sehabisnya dan saya berbangga dengannya," katanya.
Must-Watch Video