MOTOGP
MotoGP Sepang: Kasma Daniel mahu manfaat tiket peluang khas
Pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin, mahu memanfaatkan tiket peluang khas dalam perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk mempamerkan kelebihan sebenarnya di pentas tertinggi itu.
Pelumba berusia 22 tahun itu merupakan salah seorang daripada tiga pelumba negara -- termasuk Khairul Idham Pawi dan Azroy Hakeem Anuar -- yang diberikan tiket peluang khas untuk beraksi dalam kategori Moto2 perlumbaan GP Sepang pada 23 Oktober ini.
Baginya, ia merupakan satu peluang terbaik untuk dia kembali berlumba di pentas tertinggi selepas kali terakhir mewakili pasukan Onexox TKKR SAG bagi musim 2020.
Mengulas mengenai penampilannya kali ini, Kasma Daniel berkata kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz: "Saya sebenarnya tidak menjangka akan sekali lagi diberikan tiket peluang khas kerana sebelum ini saya juga pernah mendapatkan tiket berkenaan untuk berlumba dalam kategori Moto3.
"Untuk kali ini, saya diberikan peluang dalam perlumbaan Moto2 dan kami sebenarnya sudah melakukan perlumbaan ujian di Sepanyol.
"Saya akan mewakili pasukan Petronas MIE, menggunakan casis Kalex dan enjin Triumph.
"Cabaran dalam kejohanan dunia memang agak kuat tidak kira Moto2 atau Moto3 cuma kuasa enjinnya berbeza.
"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi perlumbaan ini cuma harapan saya adalah untuk memberikan satu persaingan yang baik buat pelumba lain dan tidak terlalu ketinggalan," katanya.