MOTOGP
MotoGP Sepang: Damok kecewa terlepas mata di laman sendiri
Pelumba Moto3 negara, Syarifudin Azman, terlepas peluang untuk meraih mata dalam pelumbaan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.
Pelumba yang lebih mesra disapa dengan panggilan Damok itu mempamerkan tunggangan terbaiknya untuk merebut 15 posisi teratas tetapi terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan 17 pusingan itu di tempat ke-16 dengan catatan masa 38 minit 19.401 saat.
Dalam saingan kali ini, dua pelumba Sterilgarda Husqvarna Max, John McPhee (38:04.589s) dan Ayumu Sasaki (38:04.637s), mendominasi dua kedudukan teratas untuk masing-masing bergelar juara dan naib juara.
Iklan
Pelumba Gaviota GASGAS Aspar, Sergio Garcia, pula menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 38:04.735s.
"Yang pertama, syukur Alhamdulillah saya dapat menamatkan perlumbaan dengan baik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syen Yeoh.
"Pada awalnya, saya berada dalam kelompk 15 teratas. Saya mencuba untuk memintas pelumba lain tetapi sukar untuk saya melakukannya kerana saya tidak dapat bersaing di jalan lurus.
"Daripada itu, saya mencuba untuk menutup ruang dan mengekalkan momentum untuk kekal berada dalam kelompok 15 teratas bagi mendapatkan mata tetapi hanya dapat menamatkannya di kedudukan ke-16.
"Apapun, saya mahu berterima kasih kepada pasukan saya dan kepada semua penyokong yang datang.
"Saya memang dapat mendengar sorakan mereka dan saya harap akan dapat melakukan yang lebih baik dalam perlumbaan seterusnya di Valencia nanti," katanya.
Must-Watch Video