MotoGP: Sepang bakal jadi penentu kejuaraan dunia musim ini?
King Hisyam
Oktober 31, 2024 13:03 MYT
Oktober 31, 2024 13:03 MYT
Berbaki dua pusingan terakhir perlumbaan motosikal paling elit di dunia, MotoGP nampaknya kedudukan dua pelumba teratas dalam carta kejuaraan musim ini kian sengit.
Justeru pusingan perlumbaan yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini bakal menjadi pentas sengit bagi Jorge Martin dan Francesco Bagnaia.
Martin yang kini menakluki kedudukan pertama kini mengumpul 453 mata keseluruhan iaitu hanya dibezakan 17 mata daripada pencabar terdekatnya Bagnaia yang menduduki tangga kedua di belakang beliau dengan 436 mata.
Manakala sedikit ketinggalan mata di tempat ketiga adalah Marc Marquez yang agak cemerlang dalam beberapa pusingan perlumbaan yang berlangsung kebelakangan ini dengan 356 mata.
Oleh sebab itu, jika diikutkan sistem pungutan mata pusingan yang telah ditetapkan, maka Martin dan Bagnaia masih lagi terpaksa bertarung habis-habisan dalam dua pusingan terakhir di GP malaysia dan GP Sepanyol ini dalam perebutan kejuaran bagi musim 2024.
Peminat MotoGP Malaysia dikira bertuah apabila akan berpeluang untuk menyaksikan 'peperangan all out' oleh dua pelumba Ducati itu kerana sudah pastinya kedua-duanya mahu berada di kedudukan hadapan dalam sistem pungutan mata keseluruhan sebelum ke Sepanyol untuk menutup tirai aksi perlumbaan musim ini.
Seandainnya Bagnaia mampu melepasi garisan penamat di Sepang selaku juara maka Martin menempah tugas yang lebih rumit untuk merangkul kejuaraan musim ini atau dengan erti kata lain penentuan kejuaraan
bakal ditentukan di Litar Ricardo Tomo 17 November nanti.
Jika Sebaliknya, maka Sepang adalah litar juara dunia 2024 buat Martin!