MOTOGP

MotoGP AS: Rins juara, Marquez kecundang

Penulis Jemputan 15/04/2019 | 03:18 MYT
Alex Rins memanfaatkan kemalangan yang menimpa Marc Marquez untuk meraih kejuaraan MotoGP pertamanya dalam Grand Prix Amerika Syarikat (GP AS), awal pagi tadi.
Marquez kelihatan akan meneruskan dominasinya di Litar Austin itu, namun dia tidak dapat meneruskan kejuaraan ketujuh berturut-turutnya di litar itu selepas terjatuh pada pusingan kesembilan perlumbaan.
Selepas bermula di petak utama, jaguh Sepanyol itu mendahului hampir empat saat di depan sebelum dia kehilangan kawalan terhadap jentera Repsol Hondanya itu di selekoh 12.
Valentino Rossi kemudian mengetuai perlumbaan sebelum Rins mengorak langkah berbaki empat pusingan terakhir.
Perjudiannya untuk mengeksploitasi bahagian dalam selekoh membuahkan hasil apabila dia berjaya memintas jentera Yamaha itu.
Rossi cuba memberikan respons segera, namun usahanya itu sekadar meletakkan dirinya sebagai pelumba kedua terbaik sehingga ke penamat.
"Dia merupakan idola saya sejak kecil lagi. Ia perasaan yang amat luar biasa," kata pelumba berusia 23 tahun itu kepada BT Sport tentang pertarungannya dengan Rossi pada lewat perlumbaan.
Jack Miller menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala pelumba Ducati, Andrea Dovizioso, terlepas kedudukan podium selepas tamat di tempat keempat.
Bagaimanapun, kedudukan itu sudah cukup untuk dia merampas kedudukan pendahulu keseluruhan selepas tiga perlumbaan.
;