MOTOGP
MotoGP: Petrucci ucap terima kasih kepada Dovizioso selepas raih kejuaraan sulung
Pelumba dari Itali, Danilo Petrucci, berterima kasih kepada rakan sepasukannya, Andrea Dovizioso, selepas meraih kejuaraan MotoGP pertama dalam saingan di laman sendiri.
Petrucci akhirnya menamatkan penantian dengan penuh bergaya setelah pulih daripada kesakitan ketika di Mugello walaupun berdepan tekanan daripada Dovizioso serta juara lima kali, Marc Marquez.
Pelumba berusia 28 tahun itu sukar untuk memberikan kenyataan bagi menerangkan kegembiraan itu tetapi tetap menegaskan peranan rakan sepasukan Ducati, Dovizioso, yang membantu kejayaannya.
"Saya tidak dapat bayangkan kemenangan dalam perlumbaan pertama di sini," katanya.
"Saya harus mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan pasukan, terutama Dovizioso.
"Sejak musim luruh, dia melayan saya seperti adik-beradik. Dia benar-benar memberikan rahsia yang dimiliki serta nasihat. Sangat hebat dalam MotoGP apabila anda memiliki seseorang seperti ini.
"Saya sangat gembira mempunyai Dovizioso selaku rakan sepasukan dan teman. Dia sangat istimewa," katanya.
Dalam masa yang sama, Petrucci jelas masih belum percaya dia berdepan media susulan kejayaan gemilang yang diraih itu.
"Saya tidak sedar telah menang," tambahnya.
"Mungkin sekarang, apabila saya masuk tidur dan pejamkan mata, saya akan fikirkannya.
"Apabila melintasi garisan penamat, saya mula menjerit. Saya sangat bangga dapat memenangi kejuaraan MotoGP sendiri berdekatan kilang Ducati walaupun banyak tekanan. Semua orang menantikan kami.
"Ia minggu yang sukar kerana Marquez sangat pantas dan sukar berdepannya.
"Satu pintu kecil, mungkin tingkap terbuka dan saya melompat ke dalamnya. Kemudian, saya mendahului sepanjang pusingan terakhir. Saya katakan mereka tidak boleh memotong saya kerana saya membrek dengan kuat. Kemudian, 3, 2, 1.. (sambil menjerit).
"Ia sukar dipercayai. Saya tidak mampu berkata apa-apa untuk menjelaskan perasaan," ujarnya.
Bagaimanapun, Petrucci tetap tidak yakin dia dapat mengekalkan pendahuluan sehingga garisan penamat apabila menjelaskan: "Sewaktu dalam pusingan terakhir, saya fikir ini adalah kisah saya, seseorang akan memotong di pengakhiran.
"Namun, tiada siapa melakukannya dan saya melintasi garisan penamat. Ia sangat hebat."