MOTOGP
MotoGP: Morbidelli sasar kelompok lima terbaik
Pelumba MotoGP yang mewakili pasukan Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli, melaungkan keyakinan mampu berada dalam kedudukan lima terbaik menjelang saingan yang bermula bulan hadapan.
Morbidelli mahu mencapai sasaran itu untuk membalas usaha keras yang diletakkan Petronas untuk memastikan kejayaannya dalam saingan perlumbaan MotoGP musim ini.
Pelumba berusia 25 tahun itu menganggap impiannya mampu direalisasikan Petronas yang mempunyai kakitangan pasukan berpengalaman.
"Meskipun kami adalah pasukan baru tetapi pasukan ini diterajui oleh orang yang berpengalaman dan sokongan kuat daripada penaja.
"Adalah lebih manis sekiranya kami dapat mencapai keputusan yang baik selain berada dalam kalangan lima penunggang terbaik.
"Langkah pertama kami adalah untuk menembusi kelompok 10 penunggang terbaik dan dari situ kami akan lihat sejauh mana kemampuan sebenar kami.
"Sudah sudah tidak sabar-sabar lagi untuk berlumba," kata Morbidelli.
Morbidelli muncul pelumba muka baru (rookie) 2018 selepas bersaing hebat dengan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, dengan berbekalkan jentera Yamaha YZR-M1 yang turut digunakan Valentino Rossi musim lalu.
Saingan MotoGP bakal membuka tirai pada 8 Mac di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.