MOTOGP
MotoGP: Marquez rai kejuaraan dengan bahu terkehel
Pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez, berjanji untuk tidak lagi meraikan kejayaan secara berlebihan selepas dia terkehel tulang bahu akibat meraikan kejuaran dunia kelimanya di Grand Prix (GP) Jepun, semalam.
Pelumba itu dinobat juara buat kali ketiga berturut-turut selepas pesaing terdekatnya, Andrea Dovizioso, daripada pasukan Ducati terjatuh ketika cuba mengejar pelumba Sepanyol itu dalam pusingan terakhir perlumbaan.
Keterujaan Marquez berubah menjadi kesakitan apabila dia cuba memeluk pelumba pasukan Aprillia, Scott Redding, dari atas motosikalnya ketika meraikan kejuaraan tersebut.
Redding kemudian berjaya memasukkan semula bahu Marquez dan juara dunia itu dilihat terbaring di atas balapan menahan kesakitan.
"Saya sangat gembira, saya tidak tahu apa yang berlaku ketika itu," kata Marquez mengenai kejadian tersebut.
"Saya tidak dapat mengawal perasaan, sama seperti di atas trek.
"Apabila Scott datang, saya terus memeluknya. Saya berasakan sesuatu yang pelik, bahu saya terkehel.
"Saya terbaring di atas litar dan mujur mereka berjaya memasukkannya (bahu) kembali.
"Ini bukan kali pertama. Mungkin juga itu adalah titik kelemahan saya kerana sebelum ini bahu saya kerap terkehel ketika sesi latihan.
"Mujur adrenalin masih mengalir dan saya tidak berasa sakit ketika itu, namun saya perlu berhati-hati meraikan kejayaan ini nanti," katanya.
Redding turut memohon maaf kepada Marquez dalam laman Instagram miliknya tidak lama selepas itu.