Drama berlaku di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam sesi kelayakan kedua MotoGP Malaysia apabila pelumba negara, Helmi Azman dan Khairul Idham Pawi, berlaga di selekoh kelapan hari ini.
Menurut Team Principal Petronas MIE Racing Team, Midori Moriwaki, Helmi dalam keadaan baik sementara Khairul Idham Pawi mengalami patah tangan kiri dan kecederaan pada bahagian kaki selepas mengalami pelanggaran sesama sendiri di selekoh kelapan.
"Mereka berdua mempamerkan semangat juang yang tinggi serta fokus memberikan yang terbaik ketika perlumbaan kelayakan.
"Malangnya mereka mengalami kemalangan dan sedang mendapatkan rawatan susulan. Kondisi Helmi kelihatan baik, tetapi menunggu keputusan mengenai kecederaan Pawi, " kata Midori.
Tambah Pengurus Petronas MIE Racing Team, Razmin Masli Abdul Razak: "Menjelang perlumbaan esok, hanya Helmi yang akan meneruskan perjuangan kerana Helmi tidak mengalami kecederaan serius dan dia menunjukkan peningkatan dalam sesi hari ini ."
Peringkat kelayakan kedua itu dimenangi Jorge Navarro dari Sepanyol dengan catatan masa terpantas 2 minit 04. 412 saat.
Lantas, sebagai wakil tunggal negara menghadapi saingan Moto2 berikutan kecederaan Superkip itu, Helmi berazam menghadiahkan magis buat rakyat Malaysia dalam perlumbaan sebenar esok.
Dia juga memohon maaf kerana kesilapannya mengakibatkan Superkip gagal meneruskan perlumbaan.
Helmi berada dalam keadaan baik, hanya mengalami sedikit lebam di lengan kirinya.
Shaiful Shamsudin
Sat Nov 02 2024