MOTOGP

MotoGP: Kejayaan SRT satu jenama buat Malaysia

Shaiful Shamsudin 20/07/2020 | 13:50 MYT
Kejayaan pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo, meraih kejuaraan sulung MotoGP dalam Grand Prix (GP) Sepanyol secara automatik mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan permotoran antarabangsa.
Pelumba Perancis itu turut muncul sebagai penunggang kedua negaranya yang memenangi kelas perdana apabila melakukan permulaan cantik dari petak pertama sebelum menamatkan perlumbaan 25 pusingan di Litar Jerez itu dalam masa 41 minit 23.796 saat.
Penunggang berusia 21 tahun itu mengetepikan pelumba Repsol Honda Team, Marc Marquez, yang ditimpa kemalangan termasuk mengatasi pelumba tuan rumah, Maverick Vinales, daripada pasukan Monster Energy Yamaha dan pelumba Ducati, Andrea Dovizioso, dari Itali yang mengisi kedudukan kedua dan ketiga.
Ini kali pertama sebuah pasukan satelit meraih kemenangan dalam sejarah MotoGP dalam tempoh 22 tahun.
"Masih susah hendak cakap perasaan kami tetapi kami memang sangat gembira.
"Ini kejuaraan pertama pasukan SRT, yang baru memasuki tahun kedua (penubuhan), dalam MotoGP.
"Saya sebagai rakyat dan pihak pengurusan warga Malaysia, berasa bangga untuk membawa nama negara dan Petronos ke peringkat ini," kata Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali.

You know what's sweeter than a victory for the PETRONAS MOTORSPORTS family? A double-victory! Check out what Fabio...

Posted by PETRONAS SRT on Sunday, July 19, 2020
Dalam masa sama, kedudukan Valentino Rossi bersama pasukan itu masih lagi samar meskipun penunggang berpengalaman kelahiran Itali tersebut sempat mendedahkan hampir 99.9 peratus menyertai SRT.
"Bagi kami 0.1 peratus itu masih banyak yang belum diselesaikan, terutama keperluan menilai prestasi semasanya.
"Kami tidak mahu mengambilnya sekadar atas nama yang bergelar juara dunia sebanyak sembilan kali.
"Kami sudah menikmati kejayaan di litar, jadi kami mahu menikmatinya dalam tahun kedua dan seterusnya.
"Bukan setakat menerimanya sebagai legenda bagi tujuan pemasaran semata-mata, sebaliknya membantunya meningkatkan semula prestasinya dengan penilaiannya bermula semalam.
"Kalau dilihat, dia masih berdepan masalah sama sejak beberapa tahun lalu.
"Kami masih pantau prestasinya dan banyak perkara yang perlu diselesaikan," katanya.
Begitupun, dalam masa yang sama, Razlan tidak menolak kemungkinan untuk melihat Pescao kembali menggegar kelas perdana.
"Kami menetapkan syarat kelompok kelima teratas buat Hafizh Syahrin kembali dalam saingan MotoGP.
"Jika kami belum menandatangani sesiapa, peluangnya untuk menyertai SRT adalah cerah jika dia dapat capai matlamat yang ditetapkan awal tahun ini."
#motoGP #Fabio Quartararo #Datuk Razlan Razali #Petronas Yamaha Sepang Racing Team #SRT
;