MOTOGP

MotoGP: Hafizh bergelut serlahkan potensi

Penulis Jemputan 09/06/2019 | 12:44 MYT
Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, sudah bersiap sedia dengan kemungkinan diturunkan semula beraksi dalam kancah Moto2 sekiranya tidak dilanjutkan kontrak oleh KTM Tech musim depan.
Selepas enam perlumbaan, Hafizh sekadar memungut dua mata untuk berada di tangga ke-23 dalam MotoGP, dengan perlumbaan terakhir di Litar Mugello, Itali, minggu lalu menyaksikannya terpaksa menarik diri ekoran masalah mekanikal.
Situasi itu tampak sukar buat dirinya yang berdepan kemungkinan tidak disambung kontrak oleh majikannya itu musim depan.
"Saya bersedia untuk diturunkan dalam Moto2 sambil mencari peluang untuk mendapatkan pakej tawaran yang lebih baik dalam MotoGP berbanding penyertaan tahun pertama.
"Penyertaan tahun kedua kali ini memang bagus kerana saya mendapat sokongan daripada pengeluar tetapi bagi saya, agak sukar untuk memberi saingan kepada Yamaha, Honda dan Ducati dengan jentera yang sudah berusia lebih lima tahun," katanya.
Hafizh pernah beraksi selama enam musim dalam Moto2 dengan pencapaian terbaiknya adalah menduduki tangga ke-10 keseluruhan pada 2017.
MotoGP masih berbaki 13 pusingan dengan destinasi selepas ini adalah GP Catalunya sebagai peluangnya cuba meyakinkan pengurus pasukan, Hervel Poncharal, untuk melanjutkan kontraknya pada musim 2020.
"Saya tahu pasukan ini sangat besar dan harapan yang mereka letakkan sangat tinggi.
"Tetapi susah untuk saya serlah potensi sebenar bersama jentera KTM.
"Walaupun adakalanya berdepan tekanan, saya sering berpesan kepada diri sendiri bahawa saya mampu," katanya.
;